kredit gambar : Dr Ali
Kenapa bias ? Hampir kesemua yg terlibat dalam pembikinan interbiu ini , 100% rakyat Pahang termasuk gua , tukang interbiu ini. Baler....Tapi tak pe , yg penting kita nilai kan dengan rasa rendah diri dan sifar prejudis.
Carta rujukan :
Mezzo = M
Pipiyapong = PP
1-Agak lewat saya membuat interbiu ini tatkala Conti pun dengar2 dah nak tinggal kan Pahang. Tahniah pasukan Pahang atas penantian selama berdekad2 utk membawa kembali Piala Malaysia ke dakapan rakyat Pahang. Apa yang membuatkan team Pahang merudum selepas melakar kemenangan pada tahun 1992 wpun acap kali ke final ? Komen anda.
M : Ok kita sembang sejarah skit. Hehehe.
Sebenarnya selepas tahun 1992, Pahang bukanlah terus merudum tetapi masih kekal antara salah sebuah pasukan pencabar utama dalam Liga Malaysia hinggalah ke penghujung 90an. Pahang muncul finalis Piala Malaysia pada tahun 94,95 and 97, naib juara Piala FA 95, selain muncul juara liga pada tahun 92,95,99, naib juara liga tahun 91 dan 98. Kira senang cakap, dalam era 90an, Pahang adalah antara pasukan yg menjadi pencabar utama dalam kancah bolasepak tempatan masa tu.
Kemudian tahun 2004, kita borong player2 bintang lantas menjadi juara sulung Liga Super dan jadi naib juara tahun berikutnya, 2005 sebelum muncul juara piala FA tahun 2006.
Cuma sejak lepas zaman pakai jersi Adidas tu barulah kita sedikit merosot dan kemuncaknya ialah apabila Pahang buat pertama kali dalam sejarahnya di turunkan ke Liga Perdana tahun 2012. Kira tahun 2010-2011 tu boleh kita sebut zaman malap la hehehe.
Antara punca dia adalah masalah kewangan persatuan dan kesan dari lambakan pemain2 bintang pasca 2004. Selepas era ini, kira macam team macam nak build up balik dengan fokuskan pemain2 tempatan dan pemain2 muda.
PP : Mengikut kajian saya, perkara ini terjadi kerana Pahang hanya mahu menjadi juara ketika mereka mahu sahaja dan tidak serius mahu mengekalkan kejuaraan dengan perancangan jangka masa panjang yang lebih berkesan.
Kalau kita lihat semula, bermula era Liga Semi-Pro pada 1989, Pahang telah cuba menjadi sebuah pasukan yang besar atau elit untuk bersaing segera dalam liga tempatan. Pemain-pemain bintang mula dibawa masuk ke dalam skuad Pahang dan kemuncaknya pada 1992 apabila pasukan Pahang dipenuhi ayam tambatan yang sebahagiannya dari pasukan pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebelum itu.
Pahang bergelar juara berganda pada tahun 1992 dan momentum sebagai sebuah pasukan elit itu hanya berkekalan selama 5 tahun. Dalam tempoh lima tahun itu pemain bintang keluar masuk bermotivasikan wang mula kelihatan dan itu memang sudah resmi pasukan yang besar. Isu rasuah juga membawa kepada perpindahan beberapa pemain bintang berpengaruh dari Pahang.
Cuma Pahang bernasib baik kerana masih mempunyai sekumpulan pemain muda berbakat yang pernah menonton kejuaraan 1983 dan pernah berlatih bersama pemain-pemain dari skuad juara 1992 seperti Azizul Kamaludin, Jalaludin Jaafar, Ahmad Shaharuddin Rosdi untuk membawa Pahang ke final terakhir Piala Malaysia pada 1997 dan menjuarai liga pada tahun 1999.
Selepas itu Pahang tidak lagi mempunyai apa-apa. Saya rasa ada masalah di peringkat pembangunan akar umbi bermula pada sekitar 1995 kerana selepas itu Pahang hanya berjaya menghasilkan Fadzli Saari (pemain paling menonjol ketika pertandingan bola sepak bawah 12 tahun MSSD Lipis sekitar 1994-1995). Itu pun tidaklah bagus mana. Selain daripada itu hanya ada kumpulan pemain muda di Shahzan Muda yang tidak begitu serius untuk menjadi pro (kapten mereka sibuk jual insurans!). Keadaan liga domestik pula semakin hambar pada era itu.
Setelah beberapa tahun hidup segan mati tak mahu, bermula 2003 sekali lagi Pahang mengumpulkan pemain-pemain terbaik dari seluruh negara untuk menjadi sebuah pasukan elit segera. Keadaannya hampir sama dengan skuad 1992 namun kali ini saya rasa hampir semua datang bermotivasikan bayaran yang lumayan. Dan jumlah pemain yang masuk itu sangat ramai sehingga Saravanan yang mendapat bayaran lumayan hanya memandu Honda Accord ke hulu hilir di bandar Kuantan tanpa bermain bola.
Pahang 2003 gagal dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia ketika menentang MPPJ Selangor akibat kesilapan bangang bek kiri terkenal negara ketika itu, Rosdi Talib. Namun pasukan bintang itu dapat juga mencapai kemuncak pada tahun berikutnya apabila berjaya menjadi juara Liga Super 2004 dan naib juara Liga Super 2005.
Selepas itu keadaan yang sama berulang. Pemain bintang keluar masuk kerana tidak dapat ditampung dari segi kewangan manakala pemain muda yang baik sukar ditemui di Pahang. Maka tinggallah Pahang menjadi pasukan yang tidak digeruni sehingga terperosok jatuh ke divisyen 2 buat kali pertama pada musim lepas.
Dalam era kejatuhan, Dollah Salleh muncul sebagai jurulatih dan akhirnya berjaya membawa Pahang kembali ke saingan utama berbekalkan pemain-pemain yang mahu bermain bola hingga seterusnya muncul juara Piala Malaysia.
Kejuaraan Piala Malaysia ke-3 ini saya rasa yang paling manis bagi saya kerana Pahang juara tanpa bintang sebaliknya cuma dibarisi pemain-pemain sederhana yang mahu bermain bola sepak yang baik dan bersemangat di dalam satu pasukan. Mereka membuktikan bahawa kejuaraan itu mutlak dengan penguasaan sepenuhnya dan persembahan berkualiti sepanjang aksi final!
Begitulah ceritanya.
2-...Dan apa yang membibitkan titik2 kebangkitan pasukan Pahang sehingga mendapat kemenangan pada tahun ini ? Coach ? Pengurusan ? Pemilihan pemain ?
M : OK, faktor utama ialah Pahang start build up balik team dia masa main dalam Liga Perdana musim lepas. Player2 yg dikekalkan dah mula serasi dan dapat bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Taktikal coach DS yg menerapkan permainan yg pantas melalui bahagian sayap mula menampakkan hasil dah bahagian serangan mula menampakkan ketajaman di depan gol.
Kemudian, bila start musim ni, kemasukan pemain2 baru (razman,amirul,azidan) menambahkan lagi kekuatan team Pahang dan di tambah dengan peningkatan mendadak sokongan daripada peminat. Ramuan ini semualah yg menjadikan Pahang team cempion taun ni.
PP : Pada tahun ini Pahang mempunyai jurulatih yang baik, pengurusan yang mahukan kejuaraan dan yang penting sekumpulan pemain yang mahu bermain bola sepak. Itu semua faktor kejuaraan.
3-Secara peribadi, saya melihat gandingan coach Dollah dan Zainal merupakan faktor utama pasukan Pahang pada tahun ini dapat melakar sejarah ? Anda ada pendapat lain ?
M : Bagi gua ada 2 faktor lain yg tidak kurang pentingnya selain dari faktor coach DS.
i) Kemasukan Amirul Hadi dan Razman dalam team tahun ni antara faktor penting yg membawa kepada peningkatan dalam persembahan team Pahang. Coach DS bijak dalam mengesan bakat 2 pemain yg tak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor ni dan kemudiannya membimbing mereka utk kembali menjadi pemain bintang dalam pasukan.
ii) Penggantian pemain import semasa musim perpindahan pertengahan musim pula adalah antara turning point utk team Pahang musim ni. Kemasukan Conti dan Steward memperkemaskan lagi bahagian pertahanan dan serangan. Lebih2 lagi apabila Koji sedikit merosot prestasinya selepas memuncak di awal saingan liga.
PP : Ya, saya bersetuju namun bagi saya Dollah lebih menonjol. Dollah mempunyai reputasi yang baik sebagai jurulatih. Pasukan kegemaran saya sebelum Pahang 2013 adalah MPPJ FC 2003. Kedua-dua pasukan ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama.
Di MPPJ FC saya perhatikan Yuzaiman Zahari tidak membuat clearance tidak tentu hala sebagai bek tengah, jadi saya fikir pasukan itu benar-benar bermain bola sepak. Itu yang berlaku pada Pahang 2013 dengan Razman dan Stewart.
Dollah tahu bagaimana untuk menggunakan pemain yang dimilikinya seperti Gopi, Suren, Hafiz Kamal, Faizol, Poyeng. Siapa pun tidak tahu mereka sebelum ini. Dia membawa pemain yang tersisih seperti Amirul Hadi yang hingga hampir satu musim tidak beraksi dalam kesebelasan utama Selangor dan Razman, bek kiri Selangor yang hampir hancur kariernya. Bila di Pahang mereka mengecapi prestasi top notch dalam karier mereka.
4-Jika anda manager Pahang, sebutkan 2 player tempatan dan 2 player luar negeri yang akan anda beli ? Kenapa ? Posisi manakah yang akan anda kuatkan ? Dan sebutkan 2 player Pahang sekarang yg akan anda rehatkan duduk di bangku simpanan. Kenapa ?
M : Pasal player yg nak beli tu, tak perlula rasanya utk cerita. Tapi kalau posisi, mmg gua nak import di bahagian serangan dan pertahanan. Kenapa? Pasal Pahang punya mid dah ada banyak choice dah. Kita ada beberapa variety player yg mempunyai corak permainan berbeza utk digunakan coach dalam menghadapi saingan pasukan lawan. Hafiz, Azidan, Amirul dan Faizul semuanya mempunyai corak permainan yg berbeza. Kiri dan kanan pula kita dah ada suren dan gopi. Alex juga boleh main di posisi ini apabila perlu dan Malik juga ada sebagai backup.
Cuma striker je kena ada pemain import yg power dan harap2nya koji dapat kembali on-form next season.
Player yg nak di rehatkan, koi pilih Ijan dan Jalal. Dua player ni bukan tak bagus tapi atas faktor usia, ada baiknya kita tak terlalu bergantung harap kepada mereka utk main 90 minit perlawanan. Diaorg ni boleh jadi supersub. So maybe kalau koi coach, koi akan cari player defend tempatan utk di bawa masuk dan maybe satu lagi defend import utk pair ngan Steward. Razman boleh main sbg bek kiri. Belah kanan tu Poyeng boleh jadi backup selain Jalal (kalau dia x bersara la..)
PP : Saya mungkin akan ambil Badhri Radzi walaupun tidak menonjol pada final tempoh hari. Permainannya konsisten dan caranya sesuai dengan pasukan Pahang. Selain itu saya mungkin akan ambil Amri Yahyah kerana tekniknya atau Joseph Kalang. Affize Faisal dari ATM juga midfield yang baik. Pemain luar negeri pula saya akan pilih penyerang yang lebih bernafsu seperti Igor Shkvyrin pada satu masa dahulu. Dan kalau boleh saya mahu Pirlo.
Saya akan rehatkan Jalal kerana sebenarnya sudah sampai masanya dia berehat dan singkirkan terus Azidan. Azidan bukan saja berambut kuning tapi dia tidak boleh membaca permainan dengan baik.
5-Sepanjang anda menyokong Pahang sewaktu prestasi mereka merosot tahan gaban sehingga terlontar ke liga bawah, apakah pengalaman2 yang dapat anda kutip sepanjang period tersebut ?
M : Moment jatuh bangun ni mmg sedak pasal kita dah lalui semua tu. Dari zaman boleh beli tiket bola drive thru pukul 8.40 malam sampaila ke zaman nak beli tiket bola kena berkhemah kat stadium sehari sebelum tu semua koi dah rasa. Harapnya momentum yg ada sekarang ni berterusan pasal mmg seronok bila tgk suasana yg meriah camni. Player pun bersemangat dan happy. Walaupun nak beli tiket dah susah tapi takpe la. Asalkan yg penting fan dan team sama2 maju ke hadapan.
PP : Dari segi pengalaman tak ada apa yang boleh saya katakan. Apa yang saya nampak penyokong semakin dekat kembali dengan pasukan Pahang dan semua bersemangat menyokong Pahang untuk kembali ke saingan utama.
6-Komen anda tentang fenomena Pak Majid ?
M : Pak Majid ni yg koi nampak adalah niat dan perbuatan yg lahir dari hati nurani dia sendiri tanpa dia sendiri menjangka boleh jadi hype macam ni. Alhamdulillah, ramai yang teruja dan menyokong beliau. Semoga semangat dan sikap tak berputus asa beliau dapat kita jadikan contoh tauladan. Hogoh Pak Majid Hogoh
PP : Pak Majid melakukan apa yang mampu dilakukannya untuk menunjukkan sokongannya kepada pasukan kesayangannya. Itu salurannya. Kalau hari ini beliau muda, mungkin salurannya adalah dengan menjadi ultras.
Apa pun bagi saya pemain Pahang atau mana-mana pemain bola sepak perlu ambil perhatian akan semangat ini. Pak Majid menyatakan sokongannya dengan jujur. Anda sebagai pemain bola perlu melakukan perkara yang sama. Bermainlah bola dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Soal wang atau kemasyhuran itu akan datang kemudian.