18 Mac 2010

Sembang Letup besama Vovin, saudagar karipap chinta.



Askm , terima kasih kerana sudi di paksa menjawab interbiu. keh keh

1- ceritakan asal usul nama timangan vovin ini dalam mode serba padat dan komprehensif. bagaikan nama figura barat yang sasa dengan kuku besi panjang di buku lima itu. pengaruh tu ke ni ? baik ngaku cepat !!

Saya mendengar Gothic dan Black Metal (Whooooo, Harian Metro sila temuramah saya). Satu cabang genre di atas (rasanya, saya tak pandai muzik sangat) adalah Simfonic Metal. Dari situ saya kenal sebuah kugiran bernama Therion. Dari situ saya kenal salah satu album Therion bertajuk - "VOVIN". Vovin bermaksud NAGA dari satu bahasa occult yang sudah pupus.

2- saya andaikan saudara suka membaca. kerana hanya dari membaca kita dapat menulis. betul kan ? atau pun saya silap ? dari pengalaman sendiri pun dapat akal menulis misalnya ....dan mungkin penulisan dari pengalaman lebih mengigit dan memberi kesan kepada pembaca daripada teori2 pembacaan ? komen ? praktis dari saudara sendiri dalam isu ini ?

Saya tak faham soalan anda. HAHAHA. Idea menulis datang dari banyak arah. Ya, membaca membantu menjadi penulis yang baik. Pengalaman boleh jadi sebahagian sumber ilham. Menulis sama seperti benda lain (menjahit, bermain gitar, memasak) yakni - practice makes perfect. Tiada jawapan khusus untuk soalan yang bapak abstrak ini. Semua bergantung kepada si pengkarya itu bagaimana dia hendak mencantumkan titik-titik karyanya.

3-merokok bagi mendapat idea untuk menulis. saudara setuju ? kenapa ? ... atau saudara mempunyai cara tersendiri. cerita kan .. jika boleh ...

Merokok sebenarnya tak membantu langsung untuk saya mendapat ilham. HAHAHA. Merokok sebenarnya hanya meredakan stress saya sahaja.

Majoriti ilham datang ketika saya berjalan. Itu punca ilham saya. Saya akan berjalan dan berjalan. Juga semasa memandu (cara ini sungguh bahaya). Semasa berjalan saya akan hanyut dalam imaginasi saya sendiri. Plot Aliya Elyana saya kembangkan ketika saya pergi dan balik ke/dari tempat kerja ketika menggunakan komuter/LRT.

Opera Angkasa dan Karipap Cinta banyak datang ketika saya memandu (dan berjalan). Juga ketika mandi. Saya kerap mendapat idea ketika mandi. Sudah tentulah idea itu hilang begitu sahaja sebaik sahaja saya melangkah keluar dari bilik air.


4-komen saudara tentang pengarah filem Quentin Tarantino ? filem2 arahan nya seakan2 duduk dalam kelas yang tersendiri. saudara setuju ? atau ada pengarah lain yang begitu fenomena bagi saudara ? kenapa ?

Untuk 'kelas tersendiri' saya setuju. Namun sebenarnya saya lebih sukakan hasil kerja kawan baiknya, Robert Rodriguez. Pada hemat saya, kekuatan Tarantino pada dialognya. Tarantino cuma bernasib baik (pada saya) kerana genre karyanya sudah ada 'ready' market. Berbanding Rodriguez yang lebih versatil dan mencuba pelbagai genre sampai ke filem budak-budak. Filem-filemnya terpaksa bekerja keras untuk mencari audien. Itu cabarannya.

Rodriguez sebenarnya nampak lebih berani dengan pergi belajar teknologi (dia edit dan buat efek sendiri dalam filem Spy Kids). Dalam bukunya Rodriguez cerita dia sampai jadi 'bahan test' untuk makmal ubat bagi mencari duit buat filem. Saya amat-amat mencadangkan buku itu untuk sesiapa yang mahu mencari inspirasi.

Tok rimau antara fanatik Tarantino. Tak apa, Tok rimau akan mempertahankan Tarantino no matter what. Bagus juga ada peminat begini, yang sanggup all out demi idola mereka.


5-komen saudara tentang gaya penulisan Tok Rimau. seksi ? sensual ? atau bagaimana ? .. atau biasa2 sahaja....?

Tok Rimau oke la. Saya tidak mempunyai tahap yang layak untuk mengkomen beliau. Dia lebih popular dari saya (jika kita pandang sisi popularity contest). Perempuan juga nampak seperti ramai yang tergila-gilakannya. Akhlaknya lebih bagus dari saya. Sudah tentulah itu tidak bermakna langsung jika Audrey Tautou lebih meminati saya. Biarlah Tok Rimau mendapat 1000 perempuan asalkan saya hanya dapat Audrey Taotou.

Ok, itu tidak menjawab soalan.

Dalam Sol-Jah, Tok Rimau umpama 'missing link'. Ini kerana rata-rata Sol-Jah jenis yang berlawak tanpa isi, pakai sembang apa saja benda janji lawak walaupun isi ceritanya mengarut dan tak logik langsung. Tok rimau tidak, lucunya penuh dengan lapis, makna, 'pun' dan isi.

Saya tak kata salah, dia umpama counter-balance, Sol-Jah perlu itu. Mungkin sebab dia pensyarah.


6-gejala membuang bayi semakin meriah. saudara mempunyai komen mengenai hal ini ? di mana akar permasalahan ini sebenarnya ?

Ini isu humaniti. Menyalahkan orang yang buat bayi memang mudah sebab tak kena pada batang hidung sendiri. Saya tidak tahu apa akar masalah ini.


Adakah mak bapak bayi yang berzina akar masalah ini? Senang bukan, kita salahkan mereka sahaja. Tapi saya tak nampak mereka sebagai punca masalah. Mereka manusia biasa yang buat silap, sama seperti perasuah, pengedar dadah, penindas orang miskin, penipu duit syarikat dan sebagainya.

Saya doakan dosa mereka (jika ada - siapalah saya nak menjatuh siapa yang berdosa) diampunkan tuhan, sama seperti saya mengharapkan semua mengampun mana-mana dosa saya.


7-saudara setuju jika Maskara di komersialkan ? kenapa jika ya ? kenapa jika tidak ?

Maskara sudah sedia komersial dalam bentuknya sendiri. Maskara tidak akan saya kembangkan kerana apa yang dicapainya setakat ini, memang itu sasaran saya. Maskara adalah sebuah close-tight event, tempat kawan-kawan bertemu dan mencari.

Akhir-akhir ini Maskara bertembung waktu dengan Pekan Frinjan. Saya tiada masalah dengan itu. Ini kerana sudah beberapa edisi, Maskara masih tetap mencapai sasaran audiennya. Dari sisi manusia saya, terdapat sedikit kecewa tatkala membaca komen 'kenapa Maskara sama tarikh dengan Pekan Frinjan'.

Ini bukan masalah penganjur. Saya tidak salahkan penganjur. Tapi sesetengah komentar itu datang dari individu yang saya tahu 'into' scene sebegini sejak lama dan mereka sepatutnya sudah tahu kewujudan Maskara. Tidaklah salah jika saya katakan mereka ini 'ignorant'. Sedangkan saya yang jenis malas dan tidak berapa mendalam ilmu seni dan sastera ini tahu setiap acara berkaitan yang berlaku di Kuala Lumpur, takkanlah mereka yang jauh lebih 'into' tak tahu Maskara?


8-filem2 arahan Allahyarhamah Yasmin sering menjadi polemik dan buah mulut pengkrtik2 filem. pendapat saudara tentang beliau.

Filem Yasmin oke. Saya minat Mukhsin. Saya tidak minat Sepet. Gubra so-so. Saya pernah mengatakan depan Yasmin yang Sepet tak best. Dia macam tak suka komen saya. Entahlah, saya tidak rapat sangat dengan dia.

Saya tidak pasti kenapa filem-filem Yasmin Ahmad menjadi polemik sedangkan si pengarah sekadar mencuit-cuit sahaja. Nak polemik? Pergi bantai filem-filem U-wei. Bapak lagi dalam U-Wei tempelak orang Melayu.

Lantas menjelaskan saya lebih meminati hasil kerja U-Wei berbanding Yasmin. Untuk selera saya, nilai artistik U-Wei jauh lebih tinggi dari filem Yasmin.

Tidak, saya tidak membenci Yasmin secara peribadi, saya cuma kurang meminati filem-filemnya, sama seperti saya kurang meminati filem-filem Prof Razak. Harap dapat dilihat perbezaan ini. Peminat-peminat Yasmin jangan benci saya ya?


9-jika ada anak2 muda yang kepingin ingin menjadi penulis novel yang prolifik, apa nasihat saudara ?

Menulis novel tidak akan menjadikan anda kaya. Lupakan hasrat anda dan mula belajar pandai-pandai untuk mendapatkan kerja pejabat dengan gaji yang lumayan.

Jika anda degil juga, selamat datang ke dunia penuh warna-warni. Nasihat saya - Menulis sama seperti benda lain. Ada susah dan senangnya. Kalau lebih banyak alasan diberikan terhadap soalan 'kenapa kau masih belum siapkan novel', maka sebenarnya anda tidak minat menulis pun.

Nak prolifik? Bapak senangnya - tulis novel banyak-banyak. Tak ada masa? Rujuk perenggan pertama jawapan saya ini.


10-isu Palestin tiada kesudahan, baik lupakan sahaja. saudara setuju ? kenapa ?

Ini isu sensitif. Saya kurang faham soalan kau. Bagaimana hendak kita lupakan benda yang berlaku 'depan mata' kita?

Ironinya, saya berbual dengan rakan-rakan yang pernah belajar di Mesir, mereka mengatakan ramai arab di sana tidak meriah simpati seperti Orang Melayu kita. Rata-rata mengatakan 'padan muka' Palestin. Saya tidak pastilah kalau cerita ini mewakili pendapat minoriti, saya sekadar mengimbas perbualan lampau.

Untuk pendapat lebih akademik, saya tetap mendoakan yang terbaik bukan sahaja untuk rakyat Palestin, malah semua manusia yang ditindas tidak kira apa agama dan bangsa sekalipun. Saya bukan pejuang dan hanya boleh memberi semampu saya.

terima kasih kerana sudi di temu ramah.

Sama-sama dan terima kasih juga kerana menemuramah. Jawapan saya agak skema, tidak hip dan fun, harap tidak menjejaskan peluang saya untuk berkenalan dengan gadis yang hip dan fun.

Silalah beli novel terbaru saya - KARIPAP-KARIPAP CINTA yang bakal dijual di booth PTS di Pesta Buku PWTC dan datang ke pelancarannya pada 28hb Mac di PWTC.

1 ulasan:

jiGOMorrison berkata...

Aku pembangkang yang pertama. Terima kasih