25 Oktober 2005

Ayam Kokok Atas Batang



aku dapat email ni

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Tuan-tuan & Puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Saya telah menyebutkan tentang bahan kimia merbahaya yang terdapat di dalam rokok. Saya juga telah mencadangkan agar para perokok meninggalkan rokok selama-lamanya bermula di musim Ramadhan Al-Mubarak ini. Saya yakin anda boleh melakukannya jika anda mahu melakukannya insyaallah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Ummu Salamah telah berkata, Rasulullah SAW melarang kita mengambil bahan yang memabukkan dan juga yang melemahkan badan. Hadis ini di riwayatkan oleh Imam Ahmad dan juga Abu Daud. Lantas nabi melarang umat islam daripada bahan-bahan yang memabukkan dan melemahkan badan. Bila kita mengkaji rokok, kita mendapati rokok mempunyai bahan yang memabukkan dan ia juga mengandungi bahan yang melemahkan badan. Sebagai contoh, mengikut BBC News bertarikh 8 Februari 2000 melaporkan bahawa pakar-pakar perubatan dari Royal College Of Fizician Uk iaitu RCP mengatakan, nikotin iaitu bahan dadah yang terdapat didalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain.

Justeru, jika anda menghisap rokok, anda telah menghisap sebanyak 4000 bahan kimia berbahaya dan juga sedang memasukkan dalam diri anda 1 dadah berbahaya. Dadah yang setanding dengan heroin dan kokain yang diharamkan di Malaysia ini. Dadah itu bernama nikotin sehinggakan pakar-pakar perubatan di barat mahu agar rokok diharamkan kerana mereka mengetahui betapa berbahayanya bahan nikotin ini. Justeru ulama pada hari ini, selepas mereka mengkaji dan mendapat fakta sebagai contohnya fakta yang saya sebutkan, mereka mengatakan bahawa merokok ini adalah haram. Bukan lagi harus. Bukan lagi makruh. Hukumnya sekarang ialah HARAM

Dr. Yusuf Qardawi dalam fatwa Muassirat berkata, dari penjelasan yang telah saya berikan, saya berpendapat pandangan yang menghalalkan merokok tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat yang menghalalkan merokok boleh dianggap salah. Justeru kita hanya mempunyai hanya 2 pilihan hukum sahaja. Pilihan yang pertama ialah mengatakan merokok itu makruh. Pilihan yang kedua ialah
mengatakan merokok itu adalah haram. Berdasarkan kajian terkini, penetapan hukum haram adalah lebih tepat disudut alasan dan hujahnya. Pada tanggal 23 March 1995, majlis fatwa kebangsaan Malaysia melalui muzakarah yang 37 memutuskan bahawa perbuatan merokok adalah haram.

Justeru, tuan-tuan & puan-puan yang saya muliakan. Hendak teruskan merokok !!!, selepas fatwa-fatwa ini dengan hujah-hujahnya. Saya mencadangkan agar tak usahlah merokok. Bila anda tidak merokok, Allah akan menyayangi anda. Jadikan Ramadhan ini sebagai bulan yang akan menjauhkan anda daripada rokok selama-lamanya. Saya doakan moga-moga anda berjaya insyaallah.

Dari Dr. Danial bin Zainal Abidin dalam Motivasi Mutiara 18 Oktober 2005, hari Selasa jam 7.30 pagi di Mutiara FM 95.7 Mhz Pulau Pinang.

Tiada ulasan: